Kenaf adalah pokok yang ditanam untuk menghasilkan
serat, yang mempunyai potensi besar dalam aplikasi komersil pelbagai industri.
Dalam hubungan ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah
dipertanggungjawab untuk menerokai potensi kenaf sebagai satu komoditi baru
eksport Malaysia.
Kenaf (Hibiscus Cannabinus L), yang berasal dari Afrika, boleh tumbuh antara
lima hingga enam meter dalam tempoh enam hingga lapan bulan selepas ditanam,
dan ia mempunyai banyak kegunaan seperti bio komposit iaitu untuk bahan binaan,
komponen bahan kereta dan perabot, pulpa dan kertas, tekstil dan sebagai bahan
makanan untuk ternakan.
Kenaf biasanya akan membiak pada suhu iklim antara 10 dan 50 darjah Celsius,
terutama di tanah gambut atau berpasir, dengan nilai pH 6-6.8. serta purata
hujan bulanan antara 100mm dan 125 mm.
KENAF SEBAGAI KOMODITI
Tangkai tumbuhan ini mengandungi dua jenis gentian yang sangat berguna iaitu
gentian di bahagian luar (gentian kulit) dan gentian di bahagian dalam (teras).
Gentian bahagian luar amat sesuai digunakan sebagai bahan asas dalam pembuatan
kertas manakala gentian bahagian dalam, yang berwarna putih, adalah setanding
dengan gentian yang diperoleh daripada kayu keras yang digunakan dalam penghasilan
produk berasaskan kayu.
Pada 2008, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyatakan bahawa
kenaf akan menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar khususnya di
kawasan tanah Beris yang sesuai dengan tanaman itu.
Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang dipertanggungjawabkan bagi
menjadikan kenaf sebagai tanaman utama petani selain tembakau, kini mengorak
langkah jauh ke hadapan bagi merealisasikan matlamat itu.
LKTN yang melihat potensi besar tanaman itu percaya dapat melahirkan usahawan
kenaf terutama di kalangan petani.
Pengerusi LKTN, Datuk Ismail Kassim ketika membawa wartawan ke Pusat
Pemprosesan Biji Benih Kenaf di sini baru-baru ini, berkata LKTN mempunyai
matlamat untuk mengkomersilkan kenaf sehingga ke peringkat global.
"LKTN juga sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Pertanian
Malaysia (MARDI) bagi melaksanakan percubaan verifikasi benih kenaf baru iaitu
KB6 di Bukit Tangga, Kedah serta bekerjasama dengan Fujian Agriculture and
Forestry Universiti bagi pembiakan benih kenaf F992 bermula Ogos 2011,"
katanya.
Bermula 2006, pada awalnya pengeluaran biji benih kenaf hanya mampu dihasilkan
sebanyak 7,190 kilogram dan terus meningkat dari setahun ke setahun dan pada
tahun lepas, biji benih yang dikeluarkan itu mampu mencapai 151,250 kilogram.
SESUAI DI PERLIS DAN
KEDAH
Oleh kerana Kedah dan Perlis adalah negeri yang musim kemaraunya panjang,
menjadikan kedua-dua negeri itu paling sesuai untuk ditanam kenaf bagi
pengeluaran biji benih.
Ismail berkata, tanaman kenaf adalah sangat sesuai kerana hasilnya yang sangat
tinggi dan mampu mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan. Petani boleh
mendapat keuntungan bersih kira-kira RM2,000 atau RM3,000 dalam sehektar.
"Sebab itu, yang paling penting adalah bagaimana untuk menghasilkan kenaf
bermutu tinggi dan ini memerlukan kajian dan penyelidikan oleh LKTN,"
katanya.
Kenaf sebenarnya sangat mudah ditanam dan petani hanya perlu mempraktikkan
sistem 3T iaitu tanam, tengok dan tuai.
"LKTN akan membantu petani untuk menanam kenaf di samping
memasarkannya," katanya.
Beliau berkata buat masa ini benih kenaf banyak diimport dari negara maju dalam
bidang tanaman itu seperti China, Mexico, Australia dan Amerika Syarikat.
BABITKAN SISWAZAH
Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman ketika ditemui di ladang benih kenaf di
Kampung Pering, Kodiang, Kedah berharap lebih ramai petani menceburi penanaman
kenaf.
"Contohnya, di ladang ini kita menggalakkan petani menanam kenaf sebagai
tanaman sampingan bersama tanaman lain, yang melibatkan juga bekas
siswazah," katanya.
Ahmad berkata sasaran LKTN pada tahun ini adalah untuk menanam kenaf yang
berskala lebih besar iaitu kira-kira 3,000 hektar tanah di seluruh negara
terutama tanah terbiar.
Seorang bekas siswazah dari Universiti Putra Malaysia, Imran Fahmi Tajul
Ariffin, 25, berkata tanaman kenaf yang diusahakannya di ladang itu ternyata
memberi pulangan lumayan.
"Semuanya hasil usaha LKTN dan kami perlu komited dalam mengusahakannya
dan saya rasa inilah tanaman masa depan yang sangat menguntungkan,"
katanya.
Beliau berharap lebih ramai siswazah yang belum mendapat pekerjaan agar tidak
malu terbabit dalam bidang pertanian terutama penanaman kenaf.
Seorang lagi pengusaha tanaman kenaf, Abdullah Hashim, 57, berharap kerajaan
negeri Kedah dapat meluluskan lebih banyak tanah untuk tanaman itu.
"Saya mula mengusahakan kenaf sejak 2006 dengan menyewa 12 hektar tanah
dan saya sangat berpuas hati kerana hasilnya yang sangat tinggi. Sebab itu saya
mahu membuka lebih banyak lagi tanah untuk tanaman ini pada masa depan,"
katanya.
POTENSI DALAM PEMBUATAN
KENDERAAN
Mengulas perkara itu, Ahmad berkata LKTN melihat potensi kenaf ini sangat besar
pada masa hadapan terutama dalam bidang automobil kerana beberapa pembuat
kereta ternama seperti Toyota dan Honda kini mula merangka badan kenderaan yang
diperbuat daripada kenaf.
"Toyota sudah mula mengorak langkah memperkenalkan kereta hibrid yang
diperbuat daripada fibre kenaf untuk badan kenderaan dan kita berharap syarikat
automobil tempatan seperti Proton dan Perodua turut menjalankan kajian
mengenainya," katanya.
Beliau berkata, LKTN bercadang mengadakan perbincangan dengan syarikat
automobil tempatan berhubung perkara itu.
Ahmad berkata walaupun ia mengambil masa untuk melihat kejayaan industri kenaf
namun beliau yakin akan potensi tanaman itu adalah sesuatu yang tidak ada
tandingnya.
Kenaf ibarat lubuk emas yang belum diteroka sepenuhnya dan sudah sampai masanya
semua pihak bersama-sama meneroka hasil alam ini, katanya.
No comments:
Post a Comment