Saturday, 12 May 2012

Banyak pasangan muda bercerai di Perlis

KANGAR- Pasangan suami isteri yang berusia bawah 35 tahun banyak terbabit dalam kes perceraian di Perlis dan antara puncanya ialah
mereka lebih mengutamakan nafsu dari ikatan perkahwinan kata Pengarah Pembangunan Wanita Perlis, Affendi Rajini Khan hari ini.

Menurutnya 460 kes perceraian didaftarkan di Perlis sepanjang tahun ini berbanding lebih 1,400 kes pernikahan bagi tempoh yang sama yang mana kebanyakan kes perceraian membabitkan pasangan bawah 35 tahun.

"Kebanyakan yang memohon cerai telah berkahwin antara lima dan 10 tahun dan kes itu telah menimbulkan masalah kepada masa depan anak-anak mereka," katanya selepas majlis pelancaran program Nur Bestari peringkat Parlimen Kangar yang dirasmikan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya 68 pasangan telah rujuk semula setelah menyedari masa depan anak-anak mereka tidak menentu akibat perceraian itu.

Sementara itu, Md Isa ketika melancarkan program tersebut mengingatkan pasangan suami isteri sentiasa memikirkan kebahagiaan dan masa depan keluarga terutamanya anak-anak.

Katanya, perceraian akan membawa kemusnahan kepada institusi keluarga yang telah mereka bina.--BERNAMA


Ular berkepala 7 di Perlis

Hasrat tiga pemuda dari Kampung Ngulang, Kangar untuk memancing di sebuah alur berhampiran Ampangan Timah Tasuh, baru-baru ini terbantut selepas terserempak dengan seekor ular dipercayai jenis tedung selar berkepala tujuh. Dua daripada mereka dikatakan demam selepas terserempak dengan ular berkenaan. 







Gambar ini dirakam dengan telefon bimbit oleh seorang pemuda yang kebetulan memberanikan diri dan selepas itu mencetak gambar itu di kedai gambar. Inilah kebesaran Tuhan supaya manusia berfikir kerana sesuatu kejadian atau benda yang pelik tentu ada hikmah dan pengajarannya.- BERNAMA

Projek Tebatan Banjir di Arau


Projek tebatan banjir Arau yang bermula April lalu membabitkan kos RM27 juta, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Nishad Mohamed Mohd Shaffy.


Beliau berkata projek itu membabitkan pembinaan sebuah kolam seluas 130 hektar di kawasan lading tebu Felda Chuping berhampiran Ulu Pauh dekat sini untuk menerima limpahan air dari kawasan hulu sekitar kawasan sempadan di Chuping.

Limpahan air selama ini terus mengalir masuk ke Sungai Arau mengakibatkan kawasan persekitaran Bandar Diraja itu mengalami banjir.

Katanya air akan disimpan di dalam kolam berkenaan sekaligus membolehkan ia dijadikan kawasan rekreasi kerana kedudukannya berhampiran Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis yang banyak digunakan pelancong untuk ke Langkawi. 

Nishad Mohamed berkata sambungan daripada projek pembinaan kolam itu akan melibatkan pula kerja melebarkan  Sungai Arau dari kawasan kolam hingga ke Kampung Kebun sejauh kira-kira Sembilan kilometer  sebagai laluan untuk melepaskan lebihan air dalam kolam berkenaan jika berlaku hujan lebat secara berterusan.
-BERNAMA

Thursday, 10 May 2012

Raja Muda Perlis mahu futsal jadi sukan wajib


KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu sukan futsal menjadi wadah ke arah mengukuhkan ikatan silatulrahim di kalangan masyarakat majmuk.

Justeru itu, baginda berharap futsal dijadikan sukan wajib di peringkat komuniti termasuk di peringkat kawasan dewan undangan negeri kerana ia merupakan sukan yang mudah dan kian diminati ramai.

Bertitah pada penutupan kejohanan futsal anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) di sini hari ini, baginda berharap pemimpin komuniti turut mengembangkan sukan itu dengan menyalurkan idea kreatif yang boleh memikat penyertaan pelbagai peringkat.

Raja Muda turut berharap kerajaan juga meningkatkan kemudahan sukan itu dan menyediakan platform supaya pemain dapat menionjolkan diri ke peringkat yang lebih tinggi.

Baginda juga menasihati pengusaha gelanggang futsal supaya menyediakan ruang solat, bilik rehat dan rawat selain menyediakan pekerja terlatih dalam pertolongan cemas selain memperketatkan larangan merokok di gelanggang masing-masing.

Sementara itu, sebanyak 102 pasukan menyertai kejohanan selama dua hari itu.- Bernama


Tuesday, 24 April 2012

E-Idaman edar 21,000 Tong Sampah Percuma



Sebanyak 21,000 tong sampah akan diedarkan kepada penghuni kawasan perumahan sekitar negeri Perlis di Pusat Pengurusan Pepejal E-Idaman di Kangar
Kangar – Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal,akan mengedarkan sebanyak 21,000 tong sampah percuma  secara berperingkat di seluruh taman perumahan di negeri Perlis Indera Kayangan menjelang Ogos ini.Tong sampah beroda ini diedarkan secara berperingkat bertujuan meningkatkan sistem pungutan sisa pepejal secara berkesan di kawasan perumahan dan merupakan usaha mewujudkan budaya alam sekitar yang sihat.
Pengurus Kawasan Perkhidmatan E-Idaman, Rusmi Osman berkata,sehingga kini,pihaknya telah mengedarkan sebanyak 8,500 tong sampah terbabit kepada penghuni di 114 taman perumahan dan selebihnya akan diedarkan secara berperingkat sehingga 31 Ogos.Beliau  berkata lagi penglibatan penduduk amat diperlukan kerana dianggarkan sebanyak 20 peratus daripada tong sampah yang telah diagihkan gagal diambil penduduk atas sebab-sebab tertentu.
Bermula 1 September depan,Syarikat Pengurusan Sisa Pepejal hanya akan memungut sampah dirumah penduduk yang menggunakan tong sampah yang di sediakan oleh E-Idaman.             –BERNAMA-

Thursday, 12 April 2012

Gempa turut gegar Semenanjung(Pulau Pinang, Perlis, Perak, Johor)




KUALA LUMPUR – Dua gegaran dalam tempoh hampir dua jam yang berpunca daripada gempa bumi kuat berukuran 8.6 pada skala Richter di Aceh, Sumatera Utara Indonesia semalam mencetuskan suasana panik di kalangan penduduk di beberapa negeri pantai barat Semenanjung Malaysia.
Gegaran pertama berlaku kira-kira pukul 4.50 petang dan disusuli pada pukul 6.45 petang itu menyebabkan penghuni di kediaman tinggi dan berhampiran pantai di negara ini meninggalkan rumah masing-masing.
Antara negeri yang merasai gegaran tersebut ialah Pulau Pinang, Perlis, Perak, Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.
Di pulau pinang, perkhidmatan feri yang menghubungkan Butterworth dan Goerge Town telah dihentikan pada pukul 8.30 malam berikutan gegaran kedua pada 6.45 petang tetapi disambung semula 45 minit kemudian setelah amaran tsunami ditarik balik.
Bagaimanapun, Jambatan Pulau Pinang dibuka seperti biasa.
Seorang penduduk flat Bukit Gedung, Siti Nur Zuriani Zaini, 25, memberitahu, orang-ramai lari lintang-pukang sebaik menyedari gegaran berlaku.
“Bayangkan bunyi gegaran itu sangat luar biasa seperti tanah sedang bergerak manakala pintu dan perabot rumah pula bergoncang,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam. 


Friday, 23 March 2012

GADIS CARI BAPA KANDUNG



Seorang pekerja kedai runcit dari Kampung Batu, Samporna, Sabah, berusaha mengesan bapa kandungnya, Musa Talil, 50-an, berikutan bakal melangsungkan pernikahan dengan pasangannya pada 12 Mac depan. Gadis berkenaan, Siti Burkiah berkata, dia menetap bersama ibu bapa angkatnya, Siti Razmah Johari dan Rajab di Semporna sebelum ini ketika mereka bekerja di Kilang Bernas di Tawau, Sabah apabila diserahkan kepada keluarga kandungnya. 


Menurutnya,keluarga angkatnya berpindah ke Johor Bahru ketika dia berusia 14 tahun dan kini bekerja di  sebuah kedai runcit di Jejawi."Saya hanya mempunyai nombor kad pengenalan lama bapa iaitu H02886256, ini kerana saya dibesarkan keluarga angkat sejak lahir".  Demikian luahan seorang anak yang menantikan bapanya pulang. Menurutnya, dia merayu kerjasama orang ramai yang mengenali bapanya agar menghubunginya.


Pepecahan rumah tangga mengundang kepada permasalahan dalam institusi kekeluargaan.Hal ini memberikan kesan yang buruk terhadap anak terutamanya.Masalah sosial kini berlaku disebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan.