Monday, 12 March 2012

Lapan Exco Perlis angkat sumpah kekalkan portfolio



Kesemua lapan anggota Exco kerajaan negeri hari ini mengekalkan jawatan dan portfolio masing-masing selepas mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.
Upacara mengangkat sumpah itu dimulakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sains dan Teknologi, Pembangunan Usahawan dan Hubungan Antarabangsa.
Ia diikuti ADUN Santan, Sabry Ahmad (Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi) dan ADUN Kayang, Ahmad Bakri Datuk Ali (Pelancongan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar).
Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Sena, Abdul Jamil Saad (Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Perpaduan, Pengangkutan), ADUN Beseri, Datuk Mat Rawi Kassim (Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar & Sumber Asli, Penguatkuasaan dan Kepenggunaan).
Sementara itu, ADUN Guar Sanji, Jafperi Othman (Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari, Pembangunan As-Sunnah), ADUN Chuping, Mansor Jusoh (Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan, Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan dan Tugas-Tugas Khas) dan ADUN Indera Kayangan, Dr. Por Choo Chor (Perumahan & Kerajaan Tempatan dan Pertumbuhan Bandar Baru) turut mengangkat sumpah sebagai Exco.
Pelantikan itu akan berkuat kuasa pada 19 Mac ini sehingga 18 Mac 2013.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat ke majlis itu. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.
Sementara itu, Syed Sirajuddin bertitah, barisan Exco perlu menggalas tanggungjawab itu sebagai amanah dan bukannya bermatlamat untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.
Titah baginda, barisan Exco yang dilantik semula itu adalah yang terbaik dan berharap supaya mereka dapat menjalankan amanah itu dengan sempurna.

No comments:

Post a Comment