Friday, 23 March 2012

GADIS CARI BAPA KANDUNG



Seorang pekerja kedai runcit dari Kampung Batu, Samporna, Sabah, berusaha mengesan bapa kandungnya, Musa Talil, 50-an, berikutan bakal melangsungkan pernikahan dengan pasangannya pada 12 Mac depan. Gadis berkenaan, Siti Burkiah berkata, dia menetap bersama ibu bapa angkatnya, Siti Razmah Johari dan Rajab di Semporna sebelum ini ketika mereka bekerja di Kilang Bernas di Tawau, Sabah apabila diserahkan kepada keluarga kandungnya. 


Menurutnya,keluarga angkatnya berpindah ke Johor Bahru ketika dia berusia 14 tahun dan kini bekerja di  sebuah kedai runcit di Jejawi."Saya hanya mempunyai nombor kad pengenalan lama bapa iaitu H02886256, ini kerana saya dibesarkan keluarga angkat sejak lahir".  Demikian luahan seorang anak yang menantikan bapanya pulang. Menurutnya, dia merayu kerjasama orang ramai yang mengenali bapanya agar menghubunginya.


Pepecahan rumah tangga mengundang kepada permasalahan dalam institusi kekeluargaan.Hal ini memberikan kesan yang buruk terhadap anak terutamanya.Masalah sosial kini berlaku disebabkan keruntuhan institusi kekeluargaan.





Monday, 19 March 2012

PEMBANGUNAN TIDAK TERANCANG,RAKYAT MENANGGUNG DERITA

 "Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan buruk yang mereka lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).."
(al-rum:41)




Pastinya semua masih ingat peristiwa banjir besar yang berlaku di Perlis. Banjir yang hampir menenggelamkan seluruh negeri Perlis ,Kekerapan banjir besar  yang melanda dari 10 tahun sekali ke 5 tahun sekali ke 1 tahun sekali hingga yang terkini setahun lebih dari sekali banjir melanda negeri Indera kayangan ini..Hal ini berpunca dari sistem perparitan dan saliran air yang tidak sistematik.Pembangunan yang dilakukan tanpa perancangan  mengundang kepada permasalahan ini.Masalah banjir ini menjadi lebih kritikal sejak pembinaan Empangan Timah Tasoh.Hal ini memberikan tekanan kepada rakyat Perlis khususnya kerana mengalami kerugian menjangkau jutaan ringgit akibat kerosakan yang dialami dari segi harta benda,tanaman dan ternakan.


Di samping itu, timbul rase tidak yakin kepada para pelabur untuk datang melabur di negeri ini kerana bimbang perniagaan sering diganggu oleh masalah ini. Impian Negeri Perlis menjadi negara Maju pada tahun 2015, mungkin tidak dapat direalisasikan jika masalah ini dipandang enteng oleh sesetengah pihak yang membutakan mata,memekakkan telinga mengenai isu serius ini.


Baru-baru ini dalam sidang akhbar, kerajaan negeri Perlis mengumumkan bajet sebanyak RM300 juta untuk mengatasi masalah banjir di Perlis. Ini ialah salah satu inisiatif kerajaan untuk membendung masalah banjir.Menteri Besar Perlis,Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata bajet ini dikeluarkan bagi mengalirkan air daripada Empangan Timah Tasoh ke laut dan projek tebatan banjir Arau.-BERNAMA-









Saturday, 17 March 2012

Wanita tertua Perlis ingin cari jodoh



"Tok teringin nak kahwin"..itulah kata- kata yang diluahkan oleh Puan Ahmad, wanita tertua di Perlis yang kini berusia 116 tahun dan telah menjanda sejak lebih 30 tahun yang lalu.Kesunyian yang mencengkam jiwa warga emas ini,mendorongnya untuk mencari jodoh buat kali ke -7.Tok menyimpan hasrat untuk bertemu jodoh dengan lelaki yang mampu menjaganya sebelum menghembuskan nafas yang terakhir..Tok pernah berkahwin enam kali dan mempunyai 4 orang anak,19 cucu dan 47 cicit.Antara ciri-ciri suami yang tok inginkan ialah lelaki yang lebih bertenaga daripada tok bagi membantunya melakukan kerja harian,selain itu mempunyai pendengaran dan penglihatan yang baik.....Inilah yang dikatakan lumrah kehidupan..iaitu keinginan untuk mencari teman hidup bagi mengisi ruang hati..Perkahwinan ialah satu institusi kekeluargaan yang terbina melalui ikatan yang suci..Perkahwinan juga mampu melahirkan generasi yang bakal memimpin negara pada masa akan datang.Selain itu dapat mengukuhkan lagi hubungan silaturahim sesama insan.Jika kita mengimbau kembali kenangan. Salah satu faktor penyatuan tamadun ialah perkahwinan..Sebagai contoh ialah penyebaran agama Islam di Tanah Melayu.Sejarah bermula apabila pedagang dari Tanah Arab yang datang ke Tanah Melayu untuk urusan jual beli..ade pedagang yang berkahwin dengan gadis tempatan kesempatan yang ada.telah memberi ruang untuk mereka untuk meyebarkan Agama islam.Secara tidak langsung ini dapat menyatukan dua tamadaun.

Friday, 16 March 2012

Masih Ada Lebih 12,000 Keluarga Miskin Bandar Di Seluruh Negara





Sehingga kini, masih terdapat 12,460 keluarga dikategorikan sebagai miskin tegar dalam bandar di seluruh negara, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk M Saravanan.

Beliau berkata kerajaan melaksanakan usaha berterusan bagi mengeluarkan keluarga terbabit daripada kelompok berkenaan, dan antara program yang dijalankan ialah Program Kemiskinan Bandar (PKB).
 


"PKB memberi fokus kepada projek yang dapat meningkatkan kualiti hidup dan memberi pendapatan tambahan kepada kumpulan sasar seperti latihan kemahiran dan keusahawanan," katanya ketika berucap merasmikan Program Ziarah Kesejahteraan Bandar peringkat Perlis, di sini Jumaat.
 

Mengenai PKB di Perlis, Saravanan berkata sebanyak 288 isi rumah didaftar sebagai miskin tegar dan hampir separuh daripadanya telah menyertai program latihan kemahiran dan keusahawanan yang bertujuan meningkatkan pendapatan mereka dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kangar (MPK).
 

Sehingga akhir tahun lalu, sebanyak 130 penduduk miskin tegar dalam bandar di Perlis telah menyertai pogram latihan kemahiran termasuk dalam bidang jahitan, masakan dan kecantikan yang mana sebahagian besarnya berjaya meningkatkan pendapatan mereka.
 


Perlis Kaji Kemungkinan Pajak Tanah Rizab Melayu



Kerajaan negeri Perlis sedang mengkaji kemungkinan memajak tanah rizab Melayu bagi tujuan pembangunan sejajar dengan wawasannya menjadi sebuah negeri maju menjelang 2015.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu berkata Perlis tidak lagi mempunyai tanah untuk menggantikan tanah rizab Melayu yang dibangunkan, maka kaedah pajakan dilihat sebagai satu alternatif.
Bercakap kepada para pemberita di sini hari ini, beliau berkata perkara itu telah diserahkan kepada pejabat Penasihat Undang-undang negeri untuk kajian aspek perundangan mengenai kaedah pajakan tanah rizab Melayu selain menentukan tempoh masa pajakannya.
Md Isa berkata mengikut Enakmen Rizab Melayu, setiap tanah rizab Melayu yang telah bertukar status bagi maksud pembangunan perlu digantikan dengan kawasan lain dengan keluasan sama bagi memastikan tanah rizab itu tidak berkurangan.
Bagaimanapun, kata beliau Perlis tidak lagi mempunyai tanah bagi menggantikan tanah rizab Melayu yang berpotensi dibangunkan dan bagi memastikan rizab itu kekal, kaedah pajakan dianggap yang terbaik.


Ubaya, UniMAP Jalin Kerjasama Dalam R&D Teknologi Hijau





Universiti Surabaya (Ubaya), Jawa Timur memulakan kerjasama dengan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi hijau, yang antara lain termasuk penggunaan tenaga suria untuk keperluan isi rumah.

Penyelidikan yang diterokai oleh kedua-dua universiti itu juga termasuk teknologi konkrit hijau tanpa simen, yang dikenali sebagai "Green Polymer Concrete", kimia hijau bagi mengurangkan racun kimia di sektor perindustrian dan kitar semula sanitasi isi rumah.
 

Media tempatan Jumaat melaporkan usaha kerjasama R&D antara Ubaya dan UniMAP dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) di Bangunan International Village, Ubaya, di Surabaya.
 

Pada majlis itu, UniMAP diwakili oleh Naib Canselor Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin dan Pengerusi Majlis Profesornya, Prof Dr Ali Yeon Md Shakaff manakala Ubaya oleh Rektornya Prof Joniarto Parung, Ketua Lembaga Penelitian dan Pengabdian Masyarakat, Dr Yoan Nursari Simanjuntak serta Dekan Fakulti Kejuruteraan, Dr Dra Amelia.
 

"Dengan kerjasama ini, mahasiswa Ubaya, khususnya dari jurusan kejuruteraan, boleh bergabung dalam penyelidikan atau pertukaran mahasiswa selama satu semester di UniMAP," kata Adi Tedjakusuma, Pengarah Hubungan Antarabangsa Ubaya.
 

Monday, 12 March 2012

Lapan Exco Perlis angkat sumpah kekalkan portfolio



Kesemua lapan anggota Exco kerajaan negeri hari ini mengekalkan jawatan dan portfolio masing-masing selepas mengangkat sumpah di hadapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail di Istana Arau, di sini hari ini.
Upacara mengangkat sumpah itu dimulakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pauh, Datuk Seri Diraja Syed Razlan Putra Jamalullail selaku Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sains dan Teknologi, Pembangunan Usahawan dan Hubungan Antarabangsa.
Ia diikuti ADUN Santan, Sabry Ahmad (Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Koperasi) dan ADUN Kayang, Ahmad Bakri Datuk Ali (Pelancongan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar).
Turut mengangkat sumpah ialah ADUN Sena, Abdul Jamil Saad (Belia dan Sukan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Perpaduan, Pengangkutan), ADUN Beseri, Datuk Mat Rawi Kassim (Tanah, Perhutanan, Alam Sekitar & Sumber Asli, Penguatkuasaan dan Kepenggunaan).
Sementara itu, ADUN Guar Sanji, Jafperi Othman (Agama Islam, Jawatankuasa Hadhari, Pembangunan As-Sunnah), ADUN Chuping, Mansor Jusoh (Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kebajikan, Ehwal Pengguna, Badan Bukan Kerajaan dan Tugas-Tugas Khas) dan ADUN Indera Kayangan, Dr. Por Choo Chor (Perumahan & Kerajaan Tempatan dan Pertumbuhan Bandar Baru) turut mengangkat sumpah sebagai Exco.
Pelantikan itu akan berkuat kuasa pada 19 Mac ini sehingga 18 Mac 2013.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Syed Sirajuddin Putra Jamalullail turut berkenan berangkat ke majlis itu. Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.
Sementara itu, Syed Sirajuddin bertitah, barisan Exco perlu menggalas tanggungjawab itu sebagai amanah dan bukannya bermatlamat untuk memenangi pilihan raya umum akan datang.
Titah baginda, barisan Exco yang dilantik semula itu adalah yang terbaik dan berharap supaya mereka dapat menjalankan amanah itu dengan sempurna.

Mengangkat Industri Kenaf Sebagai Lubuk Emas Negara

Kenaf adalah pokok yang ditanam untuk menghasilkan serat, yang mempunyai potensi besar dalam aplikasi komersil pelbagai industri. 

Dalam hubungan ini, Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) telah dipertanggungjawab untuk menerokai potensi kenaf sebagai satu komoditi baru eksport Malaysia.
 

Kenaf (Hibiscus Cannabinus L), yang berasal dari Afrika, boleh tumbuh antara lima hingga enam meter dalam tempoh enam hingga lapan bulan selepas ditanam, dan ia mempunyai banyak kegunaan seperti bio komposit iaitu untuk bahan binaan, komponen bahan kereta dan perabot, pulpa dan kertas, tekstil dan sebagai bahan makanan untuk ternakan.
 

Kenaf biasanya akan membiak pada suhu iklim antara 10 dan 50 darjah Celsius, terutama di tanah gambut atau berpasir, dengan nilai pH 6-6.8. serta purata hujan bulanan antara 100mm dan 125 mm.
 

KENAF SEBAGAI KOMODITI
 

Tangkai tumbuhan ini mengandungi dua jenis gentian yang sangat berguna iaitu gentian di bahagian luar (gentian kulit) dan gentian di bahagian dalam (teras).
 

Gentian bahagian luar amat sesuai digunakan sebagai bahan asas dalam pembuatan kertas manakala gentian bahagian dalam, yang berwarna putih, adalah setanding dengan gentian yang diperoleh daripada kayu keras yang digunakan dalam penghasilan produk berasaskan kayu.
 

Pada 2008, Kementerian Perusahaan, Perladangan dan Komoditi menyatakan bahawa kenaf akan menjadi sumber tanaman baru kepada penduduk luar bandar khususnya di kawasan tanah Beris yang sesuai dengan tanaman itu.
 

Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LKTN) yang dipertanggungjawabkan bagi menjadikan kenaf sebagai tanaman utama petani selain tembakau, kini mengorak langkah jauh ke hadapan bagi merealisasikan matlamat itu.
 

LKTN yang melihat potensi besar tanaman itu percaya dapat melahirkan usahawan kenaf terutama di kalangan petani.
 

Pengerusi LKTN, Datuk Ismail Kassim ketika membawa wartawan ke Pusat Pemprosesan Biji Benih Kenaf di sini baru-baru ini, berkata LKTN mempunyai matlamat untuk mengkomersilkan kenaf sehingga ke peringkat global.
 

"LKTN juga sedang bekerjasama dengan Institut Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi melaksanakan percubaan verifikasi benih kenaf baru iaitu KB6 di Bukit Tangga, Kedah serta bekerjasama dengan Fujian Agriculture and Forestry Universiti bagi pembiakan benih kenaf F992 bermula Ogos 2011," katanya.
 

Bermula 2006, pada awalnya pengeluaran biji benih kenaf hanya mampu dihasilkan sebanyak 7,190 kilogram dan terus meningkat dari setahun ke setahun dan pada tahun lepas, biji benih yang dikeluarkan itu mampu mencapai 151,250 kilogram.
 

SESUAI DI PERLIS DAN KEDAH
 

Oleh kerana Kedah dan Perlis adalah negeri yang musim kemaraunya panjang, menjadikan kedua-dua negeri itu paling sesuai untuk ditanam kenaf bagi pengeluaran biji benih.
 

Ismail berkata, tanaman kenaf adalah sangat sesuai kerana hasilnya yang sangat tinggi dan mampu mengeluarkan mereka daripada garis kemiskinan. Petani boleh mendapat keuntungan bersih kira-kira RM2,000 atau RM3,000 dalam sehektar.
 

"Sebab itu, yang paling penting adalah bagaimana untuk menghasilkan kenaf bermutu tinggi dan ini memerlukan kajian dan penyelidikan oleh LKTN," katanya.
 

Kenaf sebenarnya sangat mudah ditanam dan petani hanya perlu mempraktikkan sistem 3T iaitu tanam, tengok dan tuai.
 

"LKTN akan membantu petani untuk menanam kenaf di samping memasarkannya," katanya.
 

Beliau berkata buat masa ini benih kenaf banyak diimport dari negara maju dalam bidang tanaman itu seperti China, Mexico, Australia dan Amerika Syarikat.
 

BABITKAN SISWAZAH
 

Ketua Pengarah LKTN, Ahmad Loman ketika ditemui di ladang benih kenaf di Kampung Pering, Kodiang, Kedah berharap lebih ramai petani menceburi penanaman kenaf.
 

"Contohnya, di ladang ini kita menggalakkan petani menanam kenaf sebagai tanaman sampingan bersama tanaman lain, yang melibatkan juga bekas siswazah," katanya.
 

Ahmad berkata sasaran LKTN pada tahun ini adalah untuk menanam kenaf yang berskala lebih besar iaitu kira-kira 3,000 hektar tanah di seluruh negara terutama tanah terbiar.
 

Seorang bekas siswazah dari Universiti Putra Malaysia, Imran Fahmi Tajul Ariffin, 25, berkata tanaman kenaf yang diusahakannya di ladang itu ternyata memberi pulangan lumayan.
 

"Semuanya hasil usaha LKTN dan kami perlu komited dalam mengusahakannya dan saya rasa inilah tanaman masa depan yang sangat menguntungkan," katanya.
 

Beliau berharap lebih ramai siswazah yang belum mendapat pekerjaan agar tidak malu terbabit dalam bidang pertanian terutama penanaman kenaf.
 

Seorang lagi pengusaha tanaman kenaf, Abdullah Hashim, 57, berharap kerajaan negeri Kedah dapat meluluskan lebih banyak tanah untuk tanaman itu.

"Saya mula mengusahakan kenaf sejak 2006 dengan menyewa 12 hektar tanah dan saya sangat berpuas hati kerana hasilnya yang sangat tinggi. Sebab itu saya mahu membuka lebih banyak lagi tanah untuk tanaman ini pada masa depan," katanya.
 

POTENSI DALAM PEMBUATAN KENDERAAN
 

Mengulas perkara itu, Ahmad berkata LKTN melihat potensi kenaf ini sangat besar pada masa hadapan terutama dalam bidang automobil kerana beberapa pembuat kereta ternama seperti Toyota dan Honda kini mula merangka badan kenderaan yang diperbuat daripada kenaf.
 

"Toyota sudah mula mengorak langkah memperkenalkan kereta hibrid yang diperbuat daripada fibre kenaf untuk badan kenderaan dan kita berharap syarikat automobil tempatan seperti Proton dan Perodua turut menjalankan kajian mengenainya," katanya.
 

Beliau berkata, LKTN bercadang mengadakan perbincangan dengan syarikat automobil tempatan berhubung perkara itu.
 

Ahmad berkata walaupun ia mengambil masa untuk melihat kejayaan industri kenaf namun beliau yakin akan potensi tanaman itu adalah sesuatu yang tidak ada tandingnya.
 

Kenaf ibarat lubuk emas yang belum diteroka sepenuhnya dan sudah sampai masanya semua pihak bersama-sama meneroka hasil alam ini, katanya.