Saturday, 12 May 2012

Banyak pasangan muda bercerai di Perlis

KANGAR- Pasangan suami isteri yang berusia bawah 35 tahun banyak terbabit dalam kes perceraian di Perlis dan antara puncanya ialah
mereka lebih mengutamakan nafsu dari ikatan perkahwinan kata Pengarah Pembangunan Wanita Perlis, Affendi Rajini Khan hari ini.

Menurutnya 460 kes perceraian didaftarkan di Perlis sepanjang tahun ini berbanding lebih 1,400 kes pernikahan bagi tempoh yang sama yang mana kebanyakan kes perceraian membabitkan pasangan bawah 35 tahun.

"Kebanyakan yang memohon cerai telah berkahwin antara lima dan 10 tahun dan kes itu telah menimbulkan masalah kepada masa depan anak-anak mereka," katanya selepas majlis pelancaran program Nur Bestari peringkat Parlimen Kangar yang dirasmikan Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya 68 pasangan telah rujuk semula setelah menyedari masa depan anak-anak mereka tidak menentu akibat perceraian itu.

Sementara itu, Md Isa ketika melancarkan program tersebut mengingatkan pasangan suami isteri sentiasa memikirkan kebahagiaan dan masa depan keluarga terutamanya anak-anak.

Katanya, perceraian akan membawa kemusnahan kepada institusi keluarga yang telah mereka bina.--BERNAMA


Ular berkepala 7 di Perlis

Hasrat tiga pemuda dari Kampung Ngulang, Kangar untuk memancing di sebuah alur berhampiran Ampangan Timah Tasuh, baru-baru ini terbantut selepas terserempak dengan seekor ular dipercayai jenis tedung selar berkepala tujuh. Dua daripada mereka dikatakan demam selepas terserempak dengan ular berkenaan. 







Gambar ini dirakam dengan telefon bimbit oleh seorang pemuda yang kebetulan memberanikan diri dan selepas itu mencetak gambar itu di kedai gambar. Inilah kebesaran Tuhan supaya manusia berfikir kerana sesuatu kejadian atau benda yang pelik tentu ada hikmah dan pengajarannya.- BERNAMA

Projek Tebatan Banjir di Arau


Projek tebatan banjir Arau yang bermula April lalu membabitkan kos RM27 juta, kata Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri, Nishad Mohamed Mohd Shaffy.


Beliau berkata projek itu membabitkan pembinaan sebuah kolam seluas 130 hektar di kawasan lading tebu Felda Chuping berhampiran Ulu Pauh dekat sini untuk menerima limpahan air dari kawasan hulu sekitar kawasan sempadan di Chuping.

Limpahan air selama ini terus mengalir masuk ke Sungai Arau mengakibatkan kawasan persekitaran Bandar Diraja itu mengalami banjir.

Katanya air akan disimpan di dalam kolam berkenaan sekaligus membolehkan ia dijadikan kawasan rekreasi kerana kedudukannya berhampiran Lebuh Raya Changlun-Kuala Perlis yang banyak digunakan pelancong untuk ke Langkawi. 

Nishad Mohamed berkata sambungan daripada projek pembinaan kolam itu akan melibatkan pula kerja melebarkan  Sungai Arau dari kawasan kolam hingga ke Kampung Kebun sejauh kira-kira Sembilan kilometer  sebagai laluan untuk melepaskan lebihan air dalam kolam berkenaan jika berlaku hujan lebat secara berterusan.
-BERNAMA

Thursday, 10 May 2012

Raja Muda Perlis mahu futsal jadi sukan wajib


KANGAR - Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mahu sukan futsal menjadi wadah ke arah mengukuhkan ikatan silatulrahim di kalangan masyarakat majmuk.

Justeru itu, baginda berharap futsal dijadikan sukan wajib di peringkat komuniti termasuk di peringkat kawasan dewan undangan negeri kerana ia merupakan sukan yang mudah dan kian diminati ramai.

Bertitah pada penutupan kejohanan futsal anjuran Persatuan Perlis Kuala Lumpur (PPKL) di sini hari ini, baginda berharap pemimpin komuniti turut mengembangkan sukan itu dengan menyalurkan idea kreatif yang boleh memikat penyertaan pelbagai peringkat.

Raja Muda turut berharap kerajaan juga meningkatkan kemudahan sukan itu dan menyediakan platform supaya pemain dapat menionjolkan diri ke peringkat yang lebih tinggi.

Baginda juga menasihati pengusaha gelanggang futsal supaya menyediakan ruang solat, bilik rehat dan rawat selain menyediakan pekerja terlatih dalam pertolongan cemas selain memperketatkan larangan merokok di gelanggang masing-masing.

Sementara itu, sebanyak 102 pasukan menyertai kejohanan selama dua hari itu.- Bernama